Konflik Israel-Palestin merupakan satu pertikaian yang masih berlangsung antara Israel dan orang Arab Palestin. Konflik Israel-Palestin ini merupakan sebahagian daripada Konflik Arab-Israel yang lebih besar. Pada dasarnya, konflik kini merupakan pertikaian antara dua kumpulan mengenai tuntutan kawasan tanah yang sama.
Banyak percubaan telah dibuat untuk membantu mencipta sebuah "penyelesaian dua negara" yang melibatkan penciptaan sebuah negara Palestin merdeka di samping Israel. Pada masa ini, kebanyakan orang Israel dan Palestin bersetuju bahawa sebuah penyelesaian dua negara merupakan cara yang terbaik untuk menamatkan konflik, menurut banyak tinjauan pendapat yang utama. Kebanyakan orang Palestin melihatkan Tebing Barat dan Jalur Gaza sebagai sebahagian kawasan negara masa hadapan, suatu sudut pandangan yang juga diterima oleh kebanyakan orang Israel. Walaupun demikian, sebilangan ahli akademik yang kecil menyokong penyelesaian satu negara, dengan semua kawasan Israel, Jalur Gaza, dan Tebing Barat menjadi sebuah dwinegara dengan hak yang sama untuk semua penduduk.Bagaimanapun, terdapat banyak percanggahan pendapat yang utama tentang bentuk persetujuan mutakhir serta tahap keandalan kedua-dua pihak terhadap komitmen asas masing-masing.
Terdapat banyak pemain dalam negeri serta pemain antarabangsa yang terbabit dalam konflik ini. Pihak perunding langsung ialah kerajaan Israel yang diketuai oleh Ehud Olmert dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai oleh Mahmoud Abbas. Perundingan rasmi diantarakan oleh sebuah kontingen antarabangsa yang dikenali sebagai Kuartet Timur Tengah yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa Bersatu, dan diwakili oleh utusan khas yang kini merupakan Tony Blair. Liga Arab merupakan pemain yang penting yang telah mencadangan rancangan keamanan alternatif. Mesir, anggota pengasas Liga Arab, merupakan peserta yang utama dari segi sejarah.
Sejak tahun 2006, pihak Palestin telah dipecah belah oleh konflik antara dua puak yang utama: Fatah, parti yang terbesar, dan Hamas, sebuah kumpulan militan Islam. Oleh sebab itu, wilayah yang dikuasai oleh Pihak Berkuasa Nasional Palestin (kerajaan interim Palestin) berpecah belah antara Fatah di Tebing Barat dengan Hamas di Jalur Gaza. Ini terbukti menimbulkan masalah kerana Hamas dianggap sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Israel dan banyak negara yang lain.Oleh itu, walaupun Hamas memenangi pilihan raya Palestin 2006, ia tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang perundingan rasmi.
Pusingan perundingan keamanan terkini yang bermula di Annapolis, Amerika Syarikat pada bulan November 2007 bertujuan untuk mencapai ketetapan mutakhir menjelang akhir tahun 2008. Semua pihak bersetuju bahawa adanya enam teras atau 'status akhir' yang merupakan persoalan yang mesti diselesaikan: Jerusalem, pelarian, petempatan, keselamatan, sempadan, dan air.
Dalam kalangan masyarakat Israel dan Palestin, konflik ini menjanakan berbagai-bagai pandangan dan pendapat (sila lihat juga pandangan Israel tentang proses keamanan dalam konflik Israel-Palestin dan pandang Palestin tentang proses keamanan). Ini bertindak untuk menonjolkan percanggahan pendapat yang besar, bukan sahaja antara orang Israel dengan orang Palestin, tetapi juga antara mereka sendiri.
Ciri utama konflik ini ialah tahap keganasan yang disaksikan pada sepanjang konflik tersebut. Korban perang yang diadakan oleh askar tetap, kumpulan separa tentera, dan sel pengganas tidak hanya terhad kepada para tentera, malahan banyak nyawa orang awam bagi kedua-dua pihak juga dikorbankan.
KONFLIK ISRAEL-GAZA 2008-2009
PETA GAZA
Konflik Israel–Gaza 2008–2009 merupakan sebahagian daripada konflik Israel-Palestin, yang berada di kemuncak konflik apabila pada 27 Disember 2008, Israel telah melancarkan satu siri serangan udara, dikenali dengan nama Operation Cast Lead (Bahasa Ibrani: מבצע עופרת יצוקה, Mivtza Oferet Yetzuka, Bahasa Arab: عملية الرصاص المصبوب atau عملية الرصاص المسكوب) oleh Pasukan Pertahanan Israel. Operasi ini disasarkan kepada ahli-ahli dan infrastruktur Hamas dan ia juga dikenali sebagai Pembunuhan beramai-ramai Gaza (Bahasa Arab: مجزرة غزة) di kalangan kebanyakan negara di dunia Arab. Selepas tamatnya perdamaian sementara selama enam bulan antara kerajaan pimpinan Hamas di Genting Gaza, Palestin dan Israel, yang berakhir pada 19 Disember 2008. Israel mendakwa serangan itu dimulakan kerana meningkatnya serangan roket ke dalam Israel, mereka juga mendakwa serangan ini bertujuan memusnahkan keupayaan dan motivasi Hamas untuk melancarkan serangan yang serupa di masa depan. Hamas menyalahkan Israel atas tamatnya tempoh reda itu, kerana Israel tidak mematuhi semua syaratnya yang termasuk penamatan pengepungan Jaluran Gaza. Persengketaan ini merupakan yang terburuk sejak Hamas mendapat kejayaan politik pada awal 2006
Pada sebelah petang, Angkatan Tentera Udara Israel menghunjam 100 tan ledakan bom dan 95 % mencapai sasaran yang dikehendali. Menurut sumber Israel, mereka berjaya memusnahkan 50 pusat keselamatan yang dibina Hamas. Ini termasuklah balai polis, penjara dan pusat kawalan yang dipibina oleh pihak berkuasa pentadbiran Hamas di Semenanjung Gaza, Bandar Gaza, Beit Hanoun di utara, Khan Younis dan Rafah di selatan.
Pasukan perubatan melaporkan 287 warga Palestin terbunuh serta merta di kawasan kemalangan atau selepas dikejarkan ke hospital berhampiran. 900 cedera parah yang kebanyakannya anggota polis dan anggota pergerakan Hamas, orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
LATAR BELAKANG
Pada Jun 2008, satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel anjuran Mesir berjaya ditandatangani. Tetapi Israel memungkirinya dengan menyadakan sekatan semula di pintu masuk dari Israel ke Semenanjung Gaza. Oleh itu warga Palestin di Semenanjung Gaza tidak mendapat bekalan makanan dan fasiliti lain seperti gas, bekalan elektrik, air, ubat dan pelbagai barangan lain . Sememangnya Semenanjung Gaza tidak dapat berdiri sendiri melainkan bergantung menerima belas ehsan daripada pihak berkuasa Israel. Israel menjadikan hal ini sebagai sorong-tarik dalam krisisnya dengan Hamas yang kini mendapat sokongan besar di Semenanjung Gaza. Pada 13 Disember 2008, Israel mengumumkan akan memanjangkan gencatan senjata hanya jika Hamas patuh kepada syarat-syarat lama dan syarat terbarunya. Hamas menyalahkan Israel kerana menamatkan genjata senjata sebelum ini dengan membuat sekatan di pintu masuk dan rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong untuk ke seberang tembok sempadan.
REAKSI ANTARABANGSA
8 Januari 2009 Resolusi gencatan senjata diluluskan dengan Amerika Syarikat berkecuali, mahu supaya gencatan senjata segera dikuatkuasa dan dipatuhi sepenuhnya sehingga membawa kepada pengunduran tentera Israel dari Gaza.
9 Januari 2009, wakil Kementerian Luar China, Qin Gang mendesak Israel supaya segera menarik balik tenteranya dari Gaza selaras dengan usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu. Usaha politik diteruskan agar tertubuhnya sebuah negara Palestin yang bebas dan kedua-dua negara itu menikmati keamanan.
Pada 5 Januari 2009, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghubungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon dan Presiden Persidangan PBB, Miguel d'Escoto Brockmann, meminta diadakan sidang tergempar PBB membincangkan serangan Israel di Semenanjung Gaza.Timbalan Menteri Luar Datuk Abdul Rahim Bakri mahu Israel mematuhi Perjanjian Annapolis antara Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert di Annapolis, Maryland di Amerika Syarikat pada 27 November 2007 untuk mencari perdamaian antara Palestin dan Israel. Isu Palestin adalah isu jenayah kemanusian dan "satu tindakan keganasan".
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mestilah menghantar pasukan pengaman ke sempadan Israel dan Palestin dengan segera. Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku Naib Presiden UMNO dan Presiden Perhimpunan Belia Dunia (WAY) berkata jika Amerika Syarikat benar-benar mahu keamanan, negara kuasa besar itu boleh menghantar segera tentera pengaman ke sempadan Palestin dan Israel.
Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin menggesa rakyat memboikot produk negara-negara yang menyokong Israel termasuk Coca-cola,Starbuck dan Colgate. Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa dolar Amerika turut diboikot. Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng mahu kerajaan Malaysia memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan negara Indonesia sedia menghantar rakyatnya untuk menjadi sebahagian pasukan pemerhati di Semenanjung Gaza jika gencatan senjata tercapai. Janji itu diberikan semasa menerima Duta Besar Palestin ke Indonesia, Fariz Mehdevi di Kompleks Istana Presiden , Jakarta
BANTUAN ANTARABANGSA
Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) menghantar pakar perubatan dan petugas logistik ke Mesir bagi menyahut seruan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa serangan Israel di Tebing Gaza. Ia diketuai oleh Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Jemilah Mahmood dan anggota majlis eksekutifnya Norazam Ab Samah.
Penyelaras AMAN Malaysia Datuk Mukhriz Mahathir menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk berdiri teguh bersama rakyat Palestin menentang tindakan ganas yang bertujuan membawa kemusnahan kepada kalangan penduduk yang dirampas tanah mereka oleh Israel dan sekutunya. Pada 29 Januari 2008, Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) melancarkan Tabung Kemanusiaan Gaza untuk membantu 1.5 juta rakyat Palestin yang terperangkap di Gaza selepas semua pintu sempadannya ditutup rejim Israel sejak Jun 2007.
10 Januari 2009, Josette Sheeran selaku Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan penghantaran bekalan bantuan kepada sehingga 360,000 orang bukan pelarian di Gaza, manakala Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) akan memenuhi keperluan makanan di kalangan pelarian yang berjumlah 1.1 juta orang. WFP memiliki stok makanan berjumlah 3,500 tan metrik di gudang di Gaza, cukup untuk bekalan bagi memenuhi keperluan kes-kes baru sehingga 360,000 orang untuk tempoh tiga minggu. Bekalan makanan dihantar ke hospital-hospital dan juga tepung gandum kepada kedai-kedai yang masih dibuka. Kedai-kedai roti juga sudah kehabisan bekalan tepung gandum yang diperlukan untuk membuat roti - makanan utama penduduk di Gaza .Kilang-kilang tepung sudah kehabisan bekalan bahan mentah.Pemandu trak dan pengendali fork-lift enggan bekerja ekoran rasa bimbang dengan keselamatan mereka. 130 trak yang membawa kira-kira 4,000 tan metrik makanan WFP sudah dihantar ke Gaza menerusi tempat melintasi sempadan di Kerem Shalom, tapi sebahagiannya tersekat disebabkan faktor keselamatan




